Isnin, Disember 15, 2008

Diskusi Minda

Pada halaman ini, kita akan berbincang dan bertukar-tukar buah fikiran berkenaan dengan hal ehwal ilmiah dari pelbagai disiplin ilmu. Namun kita akan tumpukan kepada beberapa bidang sahaja supaya perbincangan kita terarah dan berfokus. Antara bidang yang akan kita tumpukan adalah:

1- Psikologi
2- Kaunseling
3- Pendidikan
4- Kemasyarakatan / Kemanusiaan
5- Agama

juga isu-isu yang berkaitan.

______________________________________________________________


Psikologi

Cuba lihat situasi di bawah :Bagaimana kita boleh stress?
Setiap hari kita mungkin mengalami di antara 50 hingga ke 200 kali situasi-situasi yang menyebabkan kita berada di dalam keadaan cemas seperti yang dihadapi oeh datuk nenek kita dahulu apabila mereka berhadapan dengan binatang buas atau musuh dari puak lain. Para penyelidik mendapati apabila kita berhadapan dengan situasi yang menimbulkan stress badan kita akan menyediakan respons ‘fight-or-flight’ dan keadaan ini mungkin memakan masa di antara 20 hingga 30 minit sementara badan kita mengambil masa di antara 2 hingga ke 3 jam untuk menjadi normal semula. Jadi jikalau keadaan seperti ini berlaku terlalu kerap maka kita dapati tiada ruang bagi badan kita untuk kembali kepada tahap normal. Keadaan ketegangan ini kian hari kian bertambah sehingga ia menjadi bertimbun dan mengakibatkan kita berasa letih, sakit bahu dan kesakitan-kesakitan lain. Walaubagaimanapun keadaan yang kita hadapi untuk menimbulkan respons ‘fight-or-flight’ tidaklah sama seperti yang dihadapi oleh datuk nenek kita dahulu. Keadaan yang kita hadapi mungkin merupakan tugasan-tugasan yang banyak, kesempitan kewangan dan masalah-masalah kehidupan harian yang lain.
Sebenarnya gaya hidup kita boleh menyebabkan kita sentiasa berada di dalam keadaan stress. Kebanyakan dari kita telah dilatih semenjak kita kecil lagi untuk bertindak pada tahap yang sebaik-baiknya. Bila kita tidak mencapai apa yang diharapkan maka kita akan kecewa. Semua ini mendatangkan tekanan kepada kita. Kebanyakan daripada kita akan bertindak kepada sistem otot-otot lebih daripada sistem-sistem yang lain. Contohnya apabila kita teringat tugasan yang diberikan kepada kita oleh pensyarah bila kita bangun pagi kita akan merasa sengal-sengal badan. Jika usaha-usaha kita pada hari itu menghadapi kesulitan (umpamanya kita gagal mendapat buku yang kita cari di perpustakaan) ketegangan kepada otot-otot kita akan menjadi lebih ketara. Biasanya kita memerlukan 20 minit untuk mengendurkan otot-otot kita. Tindakan kita terhadap rangsangan-rangsangan kepada diri kita secara yang disebutkan tadi menyebabkan tiada ruang masa untuk otot-otot kita untuk kendur.
______________________________________________________________


Kaunseling

“ TIPS KEIBUBAPAAN”
a) Teknik-teknik Praktikal Keibubapaan
Peringkat bayi:
1. Tunjukkan bahawa anda sayang kepadanya.
2. Sentiasa bertenang.
3. Menghayati detik-detik bersamanya selalu.
4. Mengambil gambarnya apabila anda tertarik dengan gerak-geri atau senyumannya di mana-mana anda berada.
5. Memberi anak anda susu ibu.
6.Bawa bersiar-siar di taman untuk mengeratkan hubungan
7.Selalu membaca untuknya.
Peringkat Kanak-kanak
1. Tunjukkan kasih sayang anda kepadanya.
2. Selalu membaca bersamanya.
3. Belikan permainan yang tidak spesifik ‘ gender’
4. Amalkan disiplin secara konsisten.
5. Didik anak-anak tentang peraturan betul dan salah dalam hidupnya.
Peringkat Remaja:
1. Teruskan bergambar bersama anak anda.
2. Bertenang dan elakkan kata-kata yang boleh menyakitkan hatinya.
3. Menyertai kumpulan sokongan dan kebajikan.
4. Luangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak anda..
5. Teruskan dengan mengajar anak anda tentang apa yang betul dan salah dalam kehidupan.
6. Mendengar dan memberi sepenuh perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh anak remaja anda. Ini akan membantu anda menunjukkan kasih sayang anda terhadap mereka.

…dipetik daripada
HEE SIEW LING
Program : M.Ed (Bimbingan dan Kaunseling)
______________________________________________________________


Pendidikan

KONSEP 1

Bahagian ini cuba menjelaskan dengan lebih lanjut tentang Kajian Tindakan. Masalah serta kekeliruan yang dihadapi oleh guru semasa menjalankan kajian tindakan dijadikan panduan dalam membuat penjelasan ini.

Beberapa Perbezaan Antara Penyelidikan Pendidikan Tradisi Dengan Kajian Tindakan Kajian Tindakan juga tergolong dalam penyelidikan pendidikan. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan antara Kajian Tindakan dengan penyelidikan pendidikan tradisi atau konvensional yang selalu dilaksanakan dalam pendidikan. Perbezaan yang dihuraikan di sini dibataskan kepada beberapa aspek kajian tradisi yang didapati boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami Kajian Tindakan. Aspek-aspek tersebut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan penyelidik, tujuan kajian, sampel kajian, serta menggunakan dapatan untuk membuat generalisasi.

Penyelidikan pendidikan selalunya dilakukan oleh Institusi Pengajian Tinggi untuk tujuan akademik atau pun oleh individu atau organisasi tertentu untuk tujuan pembentukan dan pengembangan dasar atau program yang berkaitan dengan pendidikan.

Dua pihak yang terlibat dalam kajian iaitu penyelidik dan pihak yang dikaji terdiri daripada ahli sesuatu situasi sosial atau organisasi yang berlainan serta memainkan peranan yang berbeza. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar Dan Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", penyelidik (pihak yang menjalankan kajian) mungkin terdiri daripada Pegawai Pendidikan dari K-ementerian Pendidikan, pelajar atau pensyarah dari Institusi Pengajian Tinggi. Manakala sampel kajian (pihak yang dikaji) pula terdiri daripada murid, guru dan pengetua sekolah di bandar dan di luar bandar.

Lazimnya tujuan sesuatu kajian ialah untuk melihat sejauh manakah sesuatu keadaan sosial wujud. Bagi menentukan sama ada sesuatu keadaan yang dikaji itu wujud atau tidak, dikemukakan beberapa soalan kajian berkaitan dengan perkara yang dikaji. Contoh, sejauh manakah minat pelajar bandar / luar bandar dalam mata pelajaran sains? Atau sejauh manakah kemudahan makmal mempengaruhi minat pelajarterhadap sains?

Penyelidikan pendidikan tradisi menggunakan sampel kajian dari sesuatu kelompok populasi. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar / Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", kelompok populasi yang dikaji ialah murid, guru sains dan pentadbir sekolah di bandar dan luar bandar. Penyelidik melibatkan sebahagian sahaja daripada keseluruhan kelompok yang dikaji misalnya sebanyak 30% untuk dijadikan sampel kajian.


Berasaskan pertimbangan bahawa semua ahli kelompok mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dari segi peranan, tanggunjawab, amalan atau lain-lain ciri yang berkaitan dengan perkara yang dikaji, sampel 30% ini dianggap mewakili keseluruhan populasi yang terbabit. Oleh itu dapatan kajian daripada sample sebanyak 30% boleh dijadikan asas untuk membuat satu anggapan umum atau generalisasi terhadap keseluruhan kelompok populasi tadi. Contoh generalisasi yang mungkin boleh dibuat daripada dapatan kajian ialah "pelajar bandar lebih minat belajar sains daripada pelajar luar bandar".

Seiring dengan itu penyelidik juga boleh menggunakan dapatan kajian •untuk membuat cadangan umum bagi meningkatkan minat dalam mata pelajaran sains di kalangan populasi luar bandar. Lazimnya cadangan untuk memperbaiki program dimajukan kepada organisasi pendidikan yang terlibat secara langsung dalam perancangan pendidikan sains di sekolah. Dalam konteks pelaksanaan kajian, peranan penyelidik berakhir setelah laporan kajian disediakan.

Pengertian Tentang Kajian Tindakan
Kajian Tindakan adalah kajian berbentuk kualitatif. K-ajian kualitatif menggunakan data dalam bentuk fakta asal seperti dilihat, didengar atau dibaca. Data berbentuk statistik (nombor) juga digunakan tetapi tidak menjadi cacat sesuatu Kajian Tindakan yang tidak menggunakan data berbentuk itu.
Peraturan yang perlu dipatuhi apabila menjalankan Kajian Tindakan ialah keempat-empat langkah asas iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek yang dilakukan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Berikut dihuraikan dengan lebih terperinci beberapa perkara asas tentang Kajian Tindakan. Masalah yang dialami oleh guru-guru yang menjalankan Kajian Tindakan di sekolah dijadikan asas dalam membuat huraian dan cadangan.

Pengembangan Profesionalisme Guru
Kajian Tindakan mengembangkan kemampuan guru sebagai peneroka pengetahuan yang profesional. Guru sebagai seorang profesional tidaklah semata-mata mengamalkan pengetahuan yang dikemukakan oleh orang lain tetapi berupaya merintisjalan bagi menangani pelbagi masalah P&P.
Dalam K.ajian Tindakan, guru sebagai penyelidik mengkaji amalan bekerjanya sendiri serta kaitannya dengan keberkesanan pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya. Amalan bekerja iaitu amalan mengajar termasuklah cara guru berinteraksi dengan murid, latihan-latihan yang disediakan, gaya penyampaian, soalan-soalan yang digunakan dan sebagainya. Guru menjalankan kajian atas kesedaran bahawa terdapat masalah yang mengganggu proses pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya dan masalah itu perlu ditanganinya sendiri.


Apabila seseorang guru mengamalkan Kajian Tindakan beliau perlu melakukan pengubahsuaian amalan P&P secara berterusan sehingga berlaku peningkatan dalam pencapaian murid pada tahap yang jauh lebih baik berbanding dengan keadaan sebelum kajian dijalankan. Sekiranya pencapaian murid meningkat setelah melakukan aktiviti P&P yang telah dirancang untuk menangani masalah yang wujud, bolehlah dirumuskan bahawa amalan pengajaran guru berkesan. Keberkesanan pengajaran guru meningkatkan kewibawaannya sebagai pendidik dan dengan itu tahap profesionalisme guru itu juga turut meningkat.
K.ajian Tindakan memperlihatkan pengembangan guru sebagai sesuatu yang mengarah dari bawah ke atas (bottom-up) dan bukan dari atas ke bawah (top-down). Model penjana pengetahuan (knowledge-generating model) mengandaikan bahawa kemajuan dalam latihan pendidikan perlulah berasaskan pada pandangan dan pengalaman guru sendiri. Model ini menekankan peranan guru sendiri sebagai model utama kajian tanpa menerima tekanan atau arahan dari pihak atasan. Dapatan dari kajian diterima sebagai sebahagian daripada percambahan idea dalam bidang yang dikaji.

Meningkatkan Keberkesanan Amalan Mengajar
Peningkatan keberkesanan amalan mengajar seseorang guru boleh dilihat melalui peningkatan prestasi pihak yang menerima perkhidmatan guru tersebut iaitu murid-murid. Melalui pemerhatian terhadap aktiviti-aktiviti P&P yang dijalankan di bilik darjah, guru mengumpul data secara terancang untuk mengesan kelemahan dan kekuatan aktiviti yang dilaksanakan. Data yang telah dianalisis memberi gambaran yang jelas kepada guru tentang faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan proses P&P. Berpandukan kepada analisis data guru mengubahsuai amalan mengajar yang lalu supaya menjadi lebih berkesan. Proses mengutip data dan mengubahsuai amalan berlaku berulangkali sehinggalah berlaku peningkatan dalam prestasi murid.

Tujuan Kajian
Pelaksanaan Kajian Tindakan di bilik darjah bertujuan khusus untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru dan meningkatkan pencapaian murid. Secara logik, seorang murid dianggap berjaya menguasai kemahiran-kemahiran pembelajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran apabila berjaya mendapat markah tinggi dalam sebarang penilaian bagi mata pelajaran tersebut. Dalam konteks pencapaian akademik, murid tersebut juga dianggap cemerlang dalam mata pelajaran itu.

Sesuatu Kajian Tindakan yang bertujuan untuk mengatasi pelbagai masalah pembelajaran atau membantu murid menguasai pelbagai kemahiran pembelajaran yang ditetapkan untuk satu-satu mata pelajaran adalah lebih menepati matlamat untuk membantu murid mencapai tahap cemerlang dalam satu-satu mata pelajaran. Perhatikan contoh berikut:
•Membantu murid belajar dengan berkesan melalui pengajaran yang berkesan.
•Membantu murid merancang cara belajar di bilik darjah dengan berkesan melalui bimbingan guru yang berkesan.
Contoh di atas boleh dijadikan tujuan kajian tindakan untuk dilaksanakan oleh seorang guru dalam satu kelas, atau untuk semua guru dalam satu sekolah bagi satu atau semua mata pelajaran atau pelbagai mata pelajaran. Kajian itu boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun atau untuk beberapa tahun.
Pelaksanaan Kajian Tindakan untuk satu atau beberapa tahun sesi persekolahan pastilah mengandungi beberapa pusingan atau kitaran mengikut masalah-masalah yang hendak ditangani. Tiap-tiap kitaran kajian mengandungi tujuan khusus berkaitan dengan satu-satu masalah atau kemahiran yang cuba ditangani. Perhatikan contoh-contoh berikut:
•Meningkatkan penguasaan kemahiran mendarab sifir 2 hingga 4.
•Meningkatkan kefahaman murid tentang rumah sa, puluh dan ratus dalam kemahiran asas menambah.

Selain daripada bertujuan untuk menangani masalah pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan pencapaian rendah di kalangan murid, Kajian Tindakan juga boleh dijadikan strategi untuk memperbaiki lagi pencapaian murid yang berada pada tahap baik ke tahap cemerlang.

Langkah-Langkah Melaksanakan KajianTindakan
Dalam proses pembelajaran di bilik darjah, tiap-tiap kemahiran lazimnya dipelajari satu per satu. Proses yang sama berlaku dalam Kajian Tindakan. Tiap-tiap masalah pembelajaran di tangani satu per satu. Proses pelaksanaan Kajian Tindakan merangkumi empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek. Langkah-langkah ini dilaksanakan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Gelungan seperti ditunjukkan dalam rajah di bawah menggambarkan proses pelaksanaan tanpa penghujung.
RAJAH kt
Dalam satu gelungan atau kitaran kajian, pengkaji cuba menangani satu masalah tertentu seperti meningkatkan penguasaan sesuatu kemahiranan dalam sesuatu mata pelajaran. Pelbagai aktiviti P&P dicuba untuk menangani masalah itu. Setelah masalah dapat ditangani kitaran kajian seterusnya dimulakan dengan memberi tumpuan kepada masalah lain pula.

Setelah dibuat perancangan rapi untuk mengatasi sesuatu masalah, adalah dijangkakan bahawa sesuatu masalah itu seharusnya dapat diatasi. Mungkin berlaku keadaan di mana penyelidik mendapati tiada perubahan berlaku atau sedikit sahaja kejayaan dicapai setelah kajian dilaksanakan. Sekiranya pengkaji tidak melakukan pemerhatian yang teliti dan tidak membuat catatan semasa kajian berlangsung, sukar baginya untuk mengesan dengan tepat kelemahan aktiviti yang dilaksanakan. Oleh itu amalan mencatat atau merekod segala perkembangan yang berlaku semasa aktiviti dilaksanakan adalah satu peraturan yang perlu dipatuhi dalam Kajian Tindakan.


Seseorang guru yang mengamalkan kajian tindakan sentiasa mencari masalah pembelajaran yang dihadapi oleh muridnya. Setelah masalah dikenalpasti usaha dilakukan untuk menangani masalah itu melalui langkah-langkah merancang, bertindak, memerhati dan mereflek. Proses kajian untuk menangani masalah-masalah pembelajaran yang telah dikenalpasti berlaku berterusan sehingga semua masalah diatasi.

Mengubah Amalan Mengajar
Dalam situasi pembelajaran di bilik darjah murid-murid menghadapi berbagai-bagai masalah. Perkara ini boleh dikesan melalui pencapaian murid yang berbeza-beza walaupun mereka diberi pengalaman pembelajaran yang sama. Apakah lagi yang boleh dilakukan oleh guru untuk membantu murid-murid golongan ini?

Langkah-langkah P&P melalui K-ajian Tindakan melibatkan guru mengutip data terperinci tentang berbagai faktor bilik darjah yang mempengaruhi proses pembelajaran. Hasil analisis data tersebut membantu guru memahami mengapa sesuatu aktiviti P&P yang dilaksanakan tidak mencapai matlamat. Dengan cara ini guru dapat mengesan langkah menjalankan aktiviti yang perlu diubahsuai. Apabila berlaku pengubahsuaian aktiviti, secara tidak langsung guru yang terlibat mengubah amalan mengajar iaitu amalan dalam bentuk menyediakan aktiviti P&P. Dalam K.ajian Tindakan pengubahsuaian terhadap aktiviti P&P perlu dan sentiasa dilakukan. Amalan mengubahsuai aktiviti diteruskan sehingga pencapaian murid meningkat ke tahap yang sebaik mungkin.

Proses pengubahsuaian sesuatu aktiviti berlaku setelah aktiviti itu dilaksanakan. Data tentang pelaksanaan aktiviti dianalisis dan hasil analisis itu dijadikan panduan atau landasan untuk memperbaiki aktiviti yang sama atau membina aktiviti baru. Melalui proses "cuba-cuba" aktiviti diubahsuai mengikut keperluan murid dan dengan cara tersebut keberkesanan aktiviti P&P boleh dipertingkatkan. Usaha berterusan oleh guru untuk menilai keberkesanan amalan mengajar juga membolehkan guru tersebut mengesan kelemahan yang menimbulkan masalah pembelajaran seawal mungkin. Dengan cara ini langkah pembaikan dapat dibuat sebelum sesuatu masalah menjadi serius dan terlalu sukar untuk ditangani.

Kajian Menjelaskan Amalan Penyelidik
Guru yang menjalankan K-ajian Tindakan memainkan peranan sebagai pengkaji. Perkara yang dikaji ialah amalan guru itu sendiri berkaitan dengan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid yang diajar. Oleh itu guru adalah pihak yang dikaji dan beliau tidak mewakili mana-mana kelompok populasi. Justeru, adalah tidak wajar dapatan Kajian Tindakan digunakan untuk membuat generalisasi terhadap amalan guru lain. Begitu juga, cadangan untuk memperbaiki aktiviti atau langkah P&P berdasarkan dapatan sesuatu kajian adalah sesuai dan lebih tepat untuk memperbaiki amalan guru yang menjalankan Kajian Tindakan itu sendiri.
Perkongsian Maklumat
Perkongsian dapatan kajian adalah perkara penting yang disarankan dalam Kajian Tindakan. Melalui perkongsian itu guru lain boleh menggunakan dapatan kajian sebagai rujukan atau panduan bagi melaksanakan kajian mereka sendiri. Seseorang guru yang berhasrat untuk mencuba aktiviti-aktiviti P&P yang telah dilaksanakan dalam Kajian Tindakan guru lain perlulah mengutip data tentang amalannya dahulu. Berdasarkan analisis data yang dikutip itu aktiviti yang hendak dicuba diubahsuai mengikut keperluan murid-muridnya sendiri.

Memahami Proses Pembelajaran
Guru yang menjalankan Kajian Tindakan turut mengalami proses pembelajaran. Melalui pendekatan ini guru cuba memahami proses pembelajaran murid-muridnya. Dengan memahami proses pembelajaran murid, guru boleh mengambil langkah untuk memperbaiki pengajarannya yang tidak berkesan. Kajian Tindakan yang memberi penekanan kepada langkah-langkah untuk membuktikan bahawa sesuatu pendekatan atau aktiviti pengajaran adalah lebih baik daripada yang lain atau untuk menentukan sejauh mana keberkesanan penggunaan sesuatu alat bantu dalam pengajaran tidak menepati matlamat untuk memperbaiki amalan guru. Perhatikan contoh-contoh dibawah.

•Perbandingan Antara K.eberkesanan Teknik Mengajar A Dengan Teknik Mengajar B.

• Keberkesanan Penggunaan Internet Dalam Pengajaran.

Contoh di atas mebayangkan bahawa tumpuan kajian adalah untuk menguji keberkesanan teknik mengajar atau bahan P&P, manakala kajian tindakan pula cuba mengesan kekuatan atau kelemahan amalan guru. Melalui Kajian Tindakan teknik mengajar A atau B serta penggunaan internet dalam pengajaran boleh dijadikan langkah atau aktiviti P&P untuk menangani sesuatu masalah yang dikaji.

Pendekatan Penyelidikan Dalam Pengajaran
Berbagai aktiviti atau program tambahan dilaksanakan di sekolah untuk mempertingkatkan prestasi murid. Seringkali aktiviti tersebut dilaksanakan di luar bilik darjah sama ada sebagai kelas tambahan atau program berbentuk kempen untuk menggalakkan lagi minat murid terhadap pelajaran. Seseorang guru yang menjalankan Kajian Tindakan tentang amalan mengajarnya bukanlah melaksanakan sesuatu projek khusus untuk tujuan penyelidikan semata-mata tetapi mengajar dengan menggunakan pendekatan penyelidikan. K.ajian dijalankan semasa guru mengajar di bilik darjah dengan cara menggabungjalinkan ciri-ciri penyelidikan dalam pengajaran seperti mengumpul data tentang pengajaran dan selepas itu menganalisis data tersebut. Dalam Kajian Tindakan langkah-langkah penyelidikan iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek perlu dipatuhi.

Mengutip Dan Menganalisis Data
Kajian Tindakan memberi ruang kepada guru untuk menerokai daya kreativiti dan inovasi. Oleh itu alat yang digunakan untuk mengutip data tidak perlu dihadkan kepada beberapa alat yang lazim digunakan dalam kajian tradisi seperti temubual atau soalselidik. Guru boleh membina alat sendiri untuk mengumpul data asalkan alat yang dibina itu praktikal dan sesuai digunakan mengikut keperluan kajian. Pengalaman mengajar yang ada pada guru khususnya yang berkaitan dengan aktiviti penilaian yang sering dilakukan oleh guru adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan untuk membina alat.
Berasaskan data daripada pelbagai sumber, kebenaran dapatan Kajian Tindakan boleh diperkukuhkan. Melalui langkah pemerhatian terhadap pelaksanaan aktiviti-aktivit P&P data boleh dikumpul oleh tiga pihak iaitu penyelidik sendiri, rakan dan murid-murid yang diajar. Manakala di peringkat memahami masalah pula, guru boleh mendapatkan data daripada beberapa sumber sedia ada serta mengutip data daripada murid-murid sebagai data tambahan sekiranya perlu.
Data yang dikumpul perlulah dianalisis supaya memberi makna kepada keadaan yang sedang dikaji. Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk menganalisis data. Antara cara yang mudah ialah mengelompokkan data daripada beberapa sumber mengikut tajuk atau tema tertentu. Dengan cara membandingkan data-data itu perkaitan antara data-data dapat dilihat. Melalui cara ini keadaan yang dikaji dapat dilihat atau difahami dengan lebihjelas.

Usaha Berpasukan
Guru boleh melaksanakan K-ajian Tindakan bersendirian tetapi berdasarkan pengalaman beberapa orang guru di sekolah-sekolah di Australia didapati bahawa K.ajian Tindakan adalah lebih berkesan apabila dilaksanakan secara usaha sama atau berpasukan. Didapati juga bahawa usaha sama di kalangan guru adalah lebih berkesan apabila semua guru dalam pasukan penyelidik turut terlibat menjalankan K.ajian Tindakan di bilik darjah masing-masing.
Peranan berpasukan menjadikan K.ajian Tindakah lebih berkesan kerana idea dan pandangan yang berbagai boleh membantu memantapakan sesuatu keputusan. Selain daripada memberi pandangan tiap-tiap ahli boleh saling membantu dalam melaksanakan tindakan seperti membuat pemerhatian atau mengumpul data.
Usaha berpasukan juga sangat penting bagi pelaksana kajian tindakan yang menghadapi kebuntuan semasa melaksanakan kajian. Dengan adanya pasukan penyelidik guru boleh saling merujuk dan saling bertanya apabila menghadapi masalah.

Di sekolah kerja berpasukan boleh diwujudkan melalui panitia mata pelajaran. Kajian Tindakan boleh dijadikan agenda utama panitia untuk membina semangat kerja berpasukan serta meningkatkan profesionalisme guru. Bagaimana usaha berpasukan dapat diwujudkan sedangkan para guru mempunyai senarai tugas yang tidak pernah berakhir? Sekiranya seseorang guru pelaksana Kajian Tindakan memerlukan bantuan daripada guru lain, adakah perlu bagi beliau mengadakan satu mesyuarat khusus? Perjumpaan yang formal hanya dapat diadakan selepas waktu sekolah. Sekiranya guru-guru terlibat tidak boleh meluangkan masa, sudah tentulah perbincangan tidak dapat dijalankan.

Bagi meneruskan kajian, langkah-langkah pelaksanaan perlu diubahsuai. Perbincangan boleh diadakan secara berperingkat. Mana-mana ahli yang mempunyai waktu senggang serentak bolehlah mengadakan perbincangan dahulu. Jika perlu guru yang memerlukan bantuan itu bolehlah merujuk kepada ahli-ahli lain kemudian iaitu apabila mereka mempunyai masa terluang khususnya pada waktu senggang. Usaha berpasukan tidak semestinya berlaku di kalangan guru-guru dalam satu sekolah sahaja. Guru haruslah mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalaman dengan guru-guru di sekolah lain khususnya sekolah yang berhampiran. Aktiviti berkongsi pengalaman di antara sekolah-sekolah memberi peluang kepada guru untuk memperbaiki lagi kemahiran menjalankan kajian melalui pertukaran idea dan pengalaman.

Keberkesanan Kajian Melalui Pelaksanaan Jangka Panjang
'Program For Enhancaing Effective Learning" (PEEL) iaitu program ^enyelidikan di sekolah melalui Kajian Tindakan telah dilaksanakan di sekolah-sekolah di Victoria, Australia. Menurut guru-guru yang terlibat dalam program itu, Kajian Tindakan sebagai pendekatan pengajaran untuk mencapai matlamat pendidikan terbukti berkesan apabila dilaksanakan dalamjangka waktu yang panjang. Melalui pelaksanaan kajian berulang kali dalam jangka waktu yang panjang, guru berpeluang untuk mencuba berbagai-bagai idea. Melalui proses "cuba-cuba" kemahiran menjalankan kajian meningkat dan keberkesanan pengajaran juga turut meningkat. Oleh sebab itu kajian tindakan diamalkan sebagai pendekatan pengajaran seharian di bilik darjah dan amalan penyelidikan ini diteruskan tahun demi tahun.

Kesimpulan
Kajian Tindakan adalah satu langkah berterusan oleh guru untuk menilai dan mengesan keberkesanan amalan sendiri. Melalui langkah-langkah mengesan dan menilai itu data dikumpul untuk dijadikan panduan mengubahsuai amalan lalu supaya keberkesanan amalan mengajar seterusnya dapat dipertingkatkan.
Kajian Tindakan menyarankan supaya guru mengubah amalan mengajar. Perubahan amalan yang disarankan bukanlah perubahan secara mendadak, serta drastik atau mengubah amalan kepada sesuatu keadaan yang asing. Perubahan yang disarankan ialah dari segi mengubahsuai amalan secara berperingkat berasaskan data yang telah dikutip.

Guru bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyelidik tetapi beliau juga adalah pihak yang dikaji. Sebagai penyelidik guru mengumpul dan menganalisis data, mencadangkan aktiviti P&P serta melaksanakan sendiri aktiviti tersebut.
Di sekolah murid menghadapi pelbagi masalah pembelajaran. Berasaskan pertimbangan itu, Kajian Tindakan yang bertujuan untuk menangani pelbagi masalah P&P lebih menepati matlamat untuk membimbing murid mencapai tahap cemerlang dalam pendidikan. Berasaskan pertimbangan itu juga amalan menyelidik menggunakan pendekatan Kajian Tindakan wajar dilakukan berterusan supaya sebarang masalah pembelajaran yang timbul dapat ditangani serta dikesan seawal mungkin iaitu sebelum ia menjadi terlalu rumit untuk ditangani.


Dalam usaha untuk memahami proses P&P pula, langkah-langkah kajian ditumpukan untuk meningkatkan keberkesanan aktiviti P&P bukan untuk menentukan atau mengenalpasti sama ada sesuatu langkah lebih baik atau berkesan daripada yang lain. Pendekatan atau bahan P&P yang dianggap baik boleh digunakan untuk menangani sebarang masalah pembelajaran yang dikaji.

Dipetik daripada :
Ng Kim Choy (M.Tech.Mgt.,B.A. (Hons.), Dip.Ed.),
Ketua Jabatan, Jabatan Ilmu Pendidikan, MPSS.21 Januari 2001
http://www.teachersrock.net/
________________________________________________________



Kemasyarakatan / Kemanusiaan

Histeria penyakit psikiatri
Oleh Rohaniza Idris roha@bharian.com.my

SEORANG pelajar mangsa histeria cuba ditenangkan oleh rakan-rakan.
Serangan berlaku kerana konflik, tekanan tidak terkawal KES histeria yang menyerang pelajar sekolah di beberapa negeri sejak awal tahun ini perlukan kajian terperinci kerana jumlah kes yang dicatatkan bertambah dan kerap berlaku berbanding tahun sebelumnya. Profesor yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata beliau berpendapat satu kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini perlu dibuat untuk menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah.

Katanya, kajian juga perlu dibuat untuk melihat mengapa masih wujud kes histeria di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin moden dan maju. Beliau menjelaskan histeria berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat. Namun, bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara itu semakin maju. Katanya, histeria adalah penyakit psikiatri yang dikenali sebagai ‘somatoform disorder’ dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Conversion Disorder dan Dissociative Hysteria.
Conversion Disorder adalah keadaan yang mana mereka yang diserang histeria biasanya akan merasai gangguan fizikal seperti merasai badan lumpuh, buta, pekak dan bisu walaupun pada hakikatnya mereka tidak mengalami masalah berkenaan. Kebiasaannya, histeria jenis Conversion Disorder ini berlaku kerana konflik dan trauma dengan satu-satu kejadian seperti melihat saudara dirogol, kemalangan dan kematian. Dissociative Hysteria pula menyebabkan mereka yang terkena histeria akan meronta-ronta, meracau dan menjerit-jerit. Malah, ia kerap berlaku kepada kanak-kanak dan remaja akibat konflik yang tidak dapat dikawal. Prof Azhar berkata, Dissociative Hysteria kerap berlaku dalam masyarakat di Malaysia dan biasanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja wanita di kilang manakala di Barat membabitkan histeria jenis Conversion Disorder .
Beliau menjelaskan kira-kira 20 tahun lalu kes histeria dilaporkan banyak berlaku di negara ini dengan kes tertinggi di sekolah berasrama, kilang dan kem motivasi serta minggu orientasi. Namun, ia mulai berkurangan dan menjadi kes terpencil dalam 1990-an. Beliau menjelaskan berdasarkan kajian terdahulu, kebanyakan kes histeria berlaku ketika musim peperiksaan di sekolah berasrama dan minggu orientasi di IPT. Dalam kes di asrama sekolah, didapati berlaku dalam minggu orientasi yang mana pelajar baru didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang meletihkan hingga mengganggu masa tidur dan rehat pelajar. Selain itu, kes histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut seperti pelajar baru sering dimomokkan dengan cerita karut seperti ada hantu dan perkara mistik lain. “Pelajar asrama juga mudah terkena histeria kerana mereka tidak dapat mengawal konflik seperti terpaksa mengikut disiplin yang ketat di asrama selain kerinduan kepada keluarga. Dalam 1980-an, kebanyakan kes histeria berlaku di sekolah agama yang mana disiplinnya lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya. Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam. Ia dipercayai berlaku kerana pekerja keletihan tidak cukup tidur selain faktor ketakutan kerana sering mendengar cerita mengenai hantu. Kebanyakan kes membabitkan wanita kerana tahap ketakutan mereka lebih tinggi berbanding pekerja lelaki. Prof Azhar berkata, histeria sebenarnya berlaku kerana konflik dan tekanan yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh individu itu dan cara mengawalnya adalah dengan memberikan bantuan bukan tekanan kepada mereka yang ada masalah atau lemah. “Mereka yang terkena histeria adalah individu yang memerlukan bantuan. Oleh itu, cara merawatnya adalah dengan memberikan bantuan kepada mereka. Cara terbaik adalah sesi kaunseling. Bagi mengelakkan ia berjangkit dan menjadi epidemik, mereka yang diserang terkena histeria diasingkan dengan orang lain,” katanya. Beliau berkata, bagi orang Islam, biasanya pengawal perubatan Islam akan memberi rawatan untuk menenangkan pesakit dengan bacaan ayat al-Quran. Begitu juga dengan agama lain, yang mana mungkin orang yang arif dalam agama mereka akan memberikan rawatan mengikut kepercayaan masing-masing. Namun, seeloknya selepas rawatan berkenaan pesakit diberikan keyakinan untuk mengawal diri dan selepas pulih pesakit diberikan sokongan seperti bertanyakan masalah dihadapi mereka. Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Fauzi Mustaffa, berkata histeria mengikut perspektif Islam adalah merujuk kepada keadaan yang mana manusia tidak sedar, dirasuk dan hilang ingatan akibat gangguan emosi yang tidak terkawal dan tekanan perasaan akibat masalah peribadi, rumah tangga dan kepincangan masyarakat. Katanya. ia boleh berlaku apabila seseorang itu tidak sedar diri dan syaitan mula menguasai akal fikiran mereka sehingga menyebabkan ada yang meracau, menjerit dan melakukan perkara di luar batasan manusia normal serta hilang ingatan. “Ia juga berpunca daripada gangguan emosi yang tidak terkawal yang berpunca daripada tekanan hidup, masalah rumah tangga, kepincangan masyarakat dipendam melampaui fikiran yang mana ketika itu syaitan mengambil tempat dan menyerang otak manusia. Ketika itu otak lemah dan jadi histeria,” katanya ditemui baru-baru ini. Beliau yang kerap dipanggil membantu sekolah yang menghadapi histeria, berkata, mengikut pengalamannya kebanyakan histeria berlaku menjelang musim peperiksaan. Ia berlaku kerana pelajar tertekan kerana mengulang kaji pelajaran selain tiada sokongan sebaliknya tekanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka. “Kerisauan dan kebimbangan ibu bapa menjadi tekanan yang akhirnya menyebabkan otak menjadi lemah dan syaitan mula menguasai sehingga berlaku gangguan. Selain tekanan ibu bapa, pada minggu peperiksaan biasanya pelajar tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Apabila kurang tidur mata mengantuk dan badan keletihan dan ada yang kurang makan menjadikan badan lemah yang membuka ruang untuk syaitan dan makhluk halus menguasai fikiran,” katanya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan makhluk berkenaan ‘bertindak balas’ termasuk merasuk manusia.
Imbas kembali Kronologi kes histeria di seluruh negara tahun ini
28 Ogos 2008 KUANTAN: Kejadian histeria berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur membabitkan lapan pelajar perempuan selepas tiga hari sesi persekolahan bermula.
8 Ogos 2008 KUCHING: Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, termasuk dua lelaki, diserang histeria ketika belajar di dalam kelas bermula jam 8 pagi.
KUANTAN: Kejadian histeria berulang semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, membabitkan 11 pelajar sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.
7 Ogos 2008 SUBANG JAYA: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, diserang histeria selepas dua hari kejadian yang sama berlaku di sekolah itu.
4 Ogos 2008 TELUK INTAN: Seramai 12 pelajar, termasuk empat lelaki, Sekolah Menengah Seri Kandi, histeria ketika mengikuti perkhemahan motivasi dan ceramah.
24 Julai 2008 KUANTAN: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari, terutama menjelang tengah hari. Setiap hari hampir empat hingga lima pelajar diserang kejadian misteri itu dan mengikut laporan akhbar seramai 35 pelajar terbabit.
17 Julai 2008 NIBONG TEBAL: Seramai 10 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan (SMKBK) diserang histeria di dalam kelas apabila mahu memulakan pembelajaran selepas tamat waktu rehat.
19 Jun 2008 CHERAS: Hampir 30 pelajar lelaki dan perempuan tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri, dipercayai dirasuk makhluk halus.
24 April 2008 TAIPING: Pelajar dan guru sebuah sekolah menengah di Bukit Gantang, gempar apabila 13 pelajar diserang histeria sekembali daripada menziarahi jenazah seorang guru wanita. Pelajar tingkatan tiga dan lima itu menjerit-jerit seperti orang gila ketika mengikuti pembelajaran di kelas pada jam 11.30 pagi.
14 April 2008 SEREMBAN: Kira-kira 15 pelajar dan seorang guru perempuan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, diserang histeria.
31 Januari 2008 DUNGUN: Hampir 200 pelajar perempuan dan lelaki Sekolah Menengah Sains Dungun, alami histeria menyebabkan sesi persekolahan di sekolah berasrama penuh itu terpaksa ditutup empat hari. Kejadian dipercayai bermula jam 9.30 pagi selepas seorang pelajar tingkatan dua mula menjerit sebaik tamat perhimpunan.
______________________________________________________________


Agama

Renungan :

Dalam kandungan-kandungan wanitalah bakal lahir generasi yang akan mengubah martabat agama dan bangsa juga dalam kandungan-kandungan merekalah bakal lair generasi yang akan merosakkan agama dan bangsa sekiranya anak-anak yang mereka lahirkan tidak dijaga dan dididik dengan sempurna menurut peraturan-peraturan ALLAH”.Pada tangan-tangan wanitalah akan terbina generasi berakhlak mulia, dan pada tangan-tangan merelah juga akan terbina generasi yang rosak akhlaknya seandainya anak-anak yang mereka lahirkan tidak dijaga serta dididik dengan sempurna mengikut lunas-lunas agama.
______________________________________________________________
Sebarang pertanyaan sila kemukakan kepada pemikirsarjana@yahoo.com
Terima kasih.

3 ulasan:

hazwan mohd nor berkata...

alhamdulillah. teruskan usaha pencerahan~

hazwan mohd nor berkata...

alhamdulillah..teruskan usaha pencerahan anak muda

hazwan mohd nor berkata...

teruskan..tahniah